Manifesto yang bermakna

Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0

Sebelum pilihanraya diadakan, kedua-dua pihak, BN dan PH, selalunya akan menjanjikan perkara yang hampir sama: lebih kemakmuran, lebih bantuan kewangan untuk orang miskin, lebih pembaharuan, perkhidmatan awam yang cekap, bantuan untuk perkembangan Islam dan sebagainya. Bagi saya hanya ada satu manifesto yang bermakna; bagaimana untuk menghapuskan kleptokrasi DAN HENTIKAN LINTAH LINTAH BESAR MENGHIRUP DARAH RAKYAT dan apa yang harus dilakukan untuk memastikan cara pemerintahan seperti itu tidak berulang.

Untuk itu, saya harap manifesto PH bukan saja jelas dan khusus dalam janji-janjinya, tetapi juga spesifik berkenaan cara mentadbir dan menawarkan kepada rakyat watak-watak pemimpin yang lebih meyakinkan. Manifesto PH mesti menunjukkan bahawa pemimpin yang mereka ada mempunyai DNA berbeza dengan BN serta sanggup menunaikan janji yang tidak mampu dilakukan oleh BN. Dalam kata lain, mereka mesti bersedia untuk berurusan dengan lebih berkesan dengan kleptokrasi. Mereka mesti memberitahu rakyat bahawa keazaman mereka ialah untuk memastikan negara ini tidak lagi menjadi syurga untuk para pemimpin memperkayakan diri mereka sendiri.

Untuk itu, biar saya memberikan beberapa contoh:

1. BN tidak akan menjanjikan semua kontrak kerajaan terutama syarikat berkaitan kerajaan hanya akan dilakukan melalui tender terbuka. Pakatan mesti berusaha untuk melakukan perkara ini. Kita tidak mungkin dapat menangani rasuah yang melibatkan pemimpin dan penjawat awam melainkan jika sesuatu yang drastik dilakukan. Akta Perkhidmatan Awam mesti diluluskan di mana bukan sahaja kerajaan mengamalkan kebertanggungjawaban dan ketelusan, tetapi peraturan Perintah Am harus dikuatkuasakan dengan berkesan tanpa pengecualian serta memperuntukkan penalti yang berat bagi yang melanggarnya.

2. Janji memisahkan Pejabat Pendakwaraya daripada Pejabat Peguam Negara adalah cara yang paling baik untuk memberitahu orangramai bahawa akhirnya undang-undang jenayah akan dilaksanakan dengan adil, tidak kira sama ada untuk kleptokrat dan orang awam atau untuk pemimpin kerajaan dan pemimpin pembangkang. Sekarang ini Pendakwa Raya kita memalukan kerana mempertahakan pemimipin tertentu sahingga mengabaikan tanggongjawab beliau sebagai Pendakwa Raya di mana akhirnya Pendakwaraya Malaysia menjadi bahan ketawa di mata dunia.

Janji menubohkan Kementerian Undang-Undang sebagai kementerian yang berasingan (bukannya sebahagian daripada Jabatan Perdana Menteri) lebih berupaya memberitahu orangramai bahawa keadilan diberi keutamaan kepada kerajaan baru nanti dan melaksanakan apa saja pembaharuan adalah perlu untuk kebaikan negara – tidak hanya untuk melindungi Perdana Menteri.

3. Janji memansuhkan Akta Rahsia Rasmi juga berupaya memberitahu rakyat bahawa pemimpin yang korup tidak boleh lagi bersembunyi di belakang undang-undang yang zalim. Jika akta ini dimansuhkan, menteri-menteri, pegawai tinggi kerajaan dan ketua-ketua polis tidak boleh lagi sesuka hati mencuri harta negara untuk menjadi kaya. Ia akan menjadikan kesalahan mereka tidak dapat dilindungi sesuka hati di bawah rahsia rasmi. Akhirnya, dengan pemansuhan itu orang-orang yang mencuri kekayaan negara akan diketahui di seluruh dunia.

4. Janjikan kapada rakyat bahawa Parlimen akan mempunyai kata putus dalam pelantikan pegawai kanan kerajaan seperti Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan hakim-hakim mesti menjadi keutamaan demi negara. Ia adalah janji yang tidak mungkin dilakukan oleh Najib. PH mesti menjadikan janji itu sebagai keutamaan kerana rakyat yang menyokong perubahan sudah letih dengan sistem sedia ada. Manifesto PH mesti jelas dan terang bagaimana untuk sistem baru menggantikan sistem sedia ada yang sudah busuk.

5. Terdapat banyak janji boleh dibuat tetapi apa yang mesti dikekalkan ialah kesungguhan untuk menghentikan semua lebihan dalam kerajaan sedia ada. Janji pengampunan untuk pegawai gred rendah akan dapat menghantar mesej bahawa PH tidak akan melepaskan semua yang bersubahat, secara langsung atau tidak langsung atas salahguna kuasa mana-mana pemimpin. Rakyat mengharapkan tiada siapa yang akan terlepas dan janji-janji ini mesti disebarkan dengan meluas ke seluruh negara.

6. Kerajaan sedia ada adalah condong kepada golongan kaya dan elit. Ini mesti dihapuskan sama sekali. Membiarkan yang kaya tidak disentuh, manakala orang biasa diberi hukuman keras biar pun melakukan kesalahan kecil, tidak harus wujud lagi. Kerajaan baru mesti menunjukkan simpati kepada golongan miskin dengan tidak menghantar mereka ke penjara jika melakukan kesaalahan kecil seperti mencuri makanan atau mainan dibawah RM1000. Mengenakan denda sudah memadai dan ini menunjukkan kerajaan baru memahami masalah orang miskin, di samping menyediakan subsidi untuk makanan dan tempat tinggal untuk mereka.

Manifesto yang menjanjikan suntikan imunisasi percuma dari rota virus (500,000 kanak-kanak mati di seluruh dunia akibat daripadanya) untuk kanak-kanak yang mana kosnya adalah kurang daripada perbelanjaan lawatan Najib bertemu Trump di Amerika baru-baru ini atau menyediakan rawatan untuk pesakit kanser adalah mesej bahawa kerajaan sedia memperuntukkan wang yang cukup untuk kesihatan awam dan kebajikan. Janji-janji yang kerajaan baru bersedia untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial yang lebih luas dapat memberi kesan yang lebih baik. Jika PH boleh menjanjikan semua itu, maka tiada sesiapa akan bertanya kemungkinan kerajaan akan mengambil tanah dari penduduk kampung atau orang Asli atau tidak melindungi hutan seperti di Taman Tun Dr Ismail.

7. Membentangkan manifesto yang berbeza adalah satu gema untuk mereka yang berharap sebuah kerajaan bersih dan penyayang. PH mesti dapat mengemukakan pelan tindakan untuk berdepan dengan kleptokrat dan kerajaan kleptokrasi. Jika tidak, perjuangan menentang 1MDB hanyalah sia-sia. Kita telah kehilangan berbilion ringgit kepada kleptokrat dan sekarang adalah masa untuk menjanjikan kepada rakyat bahawa ia tidak akan berlaku lagi; dan untuk itu mereka mesti memberi sokongan penuh kepada pembaharuan institusi bagi negara ini.

Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0
%d bloggers like this: