Menebus Maruah Rakyat Kita

Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0

Ucapan kepada 300 pekerja parti Pakatan Harapan Kelantan, Kota Bharu 20 Mac 2018

Saya gembira kerana anda semua menerima jemputan ke rumah saya sambil menikmati hidangan gulai kawah dan beberapa masakan lain. Perjuangan untuk masa depan negara kita telah bermula, dan kita memerlukan seluruh tenaga dan kekuatan yang ada untuk melawan UMNO dan Barisan Nasional dalam pihanraya yang bakal tiba. Kita juga mesti melawan para penyokong Perdana Menteri Dato’ Seri Najib, iaitu yang menggelar diri mereka sebagai ahli dan pemimpin PAS.

Cadangan pertama saya kepada anda semua ialah sentiasa berhubung dengan pengundi pos. Ini adalah kumpulan besar dan mereka ini dikatakan penyokong tegar UMNO/BN kerana mereka takut untuk mengundi Pembangkang. Kategori mereka yang layak sebagai pengundi pos semakin bertambah. Pasukan Tentera dan Polis telah lama dijadikan pengundi pos, tetapi kini ditambah pula jururawat, anggota bomba dan RELA.

Dianggarkan lebih 400,000 pengundi pos akan menentukan keputusan undi di banyak kawasan mengundi. Di masa lalu, mereka biasanya mengundi BN. Anda perlu sentiasa menghubungi mereka kerana mereka menerima kertas undi lebih awal berbanding pengundi biasa. Inilah ketikanya banyak pihak cuba memberi tekanan supaya mengundi UMNO/BN. Ramai ditawarkan wang tunai untuk mengundi. Beritahu kepada mereka bahwa UMNO tidak dapat tahu jika mereka mengundi Pembangkang. UMNO hanya boleh mengugut mereka. Ketua mereka tidak akan tahu bagaimana mereka mengundi, oleh itu pencen yang mereka nikmati adalah selamat. Beritahu mereka, gunakan undi mereka untuk menyelamatkan negara.

Piliharaya ini bukan sahaja mengenai menyingkirkan Perdana Menteri, atau untuk mempunyai kerajaan serta polisi-polisi yang lebih baik. Piliharaya ini bukan sekadar usaha menyekat Kerajaan menghantar para pengkritik ke penjara. Pilihanraya ini adalah soal orang Melayu, orang Islam, soal siapa kita dan nilai-nilai kehidupan kita.

Apabila rakyat – termasuklah orang asing – bercakap mengenai Malaysia, mereka tahu bahawa orang Melayulah yang memerintah negara ini. Kumpulan bangsa lain tidak ramai dalam sektor awam. Pemimpin atasan, sama ada jawatan politik dan pentadbiran – adalah orang Melayu. Pegawai Melayu dalam perkhidmatan awam melaksanakan semua keputusan utama di negara ini. Mereka mengajar dan mentadbir sekolah dan universiti. Ketua Pendaftar Pertubuhan adalah Melayu. Hakim-hakim kanan malah Ketua Hakim adalah Melayu. Pasukan Tentera dan Polis semuanya diketuai dan dianggotai oleh orang Melayu.

Hakikatnya, negara ini adalah negara orang Melayu. Setiap perkara mengenai Malaysia adalah berkait dengan orang Melayu. Jika dunia mencerca kita, maknanya mereka mencerca orang Melayu. Jika dunia mengatakan para pentadbir kita adalah hamba kepada Najib, maka ia bermaksud orang Melayu adalah hamba. Pilihanraya ini adalah soal orang Melayu, dan keputusannya kelak akan memberitahu setiap orang, siapakah diri kita sebenarnya.

Kerajaan UMNO dan Perdana Menteri telah berjaya mengherot-benyokkan imej orang Melayu yang mentadbir negara ini. Dulu, kita dikenali sebagai bangsa yang baik budi bahasa serta adat resam. Kita dilihat sebagai bangsa yang mempunyai pekerti yang baik dan bertimbang rasa, dipercayai dan dihormati. Tetapi Najib berjaya mengubah sifat-sifat yang mulia ini. Sekarang Najib menjadikan orang Melayu sebagai penipu, jahat, berat sebelah, dayus, tidak berkebolehan, tidak cekap, penakut dan bodoh.

Dunia terus bertanya: “Apa yang silap dengan Malaysia?” Dengan perkataan lain, mereka bertanya apakah yang telah silap dengan orang Melayu? Bagaimana reaksi kita kepada kata-kata sebegini? Dunia mahu tahu kenapa Ketua Polis Negara dan Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia melihat tiada apa salahnya dengan isyu 1MDB. Mereka bertanya undang-undang apa yang digunapakai apabila Peguam Negara berkata Perdana Menteri tidak melakukan sebarang kesalahan. Dunia mahu tahu kenapa para hakim kita tidak bersedia mendengar begitu banyak tuntutan dan aduan mengenai 1MDB. Dunia mentertwakan Speaker Parlimen kerana tidak faham apa itu sub-judis, selain menggunakan istilah ini sebagai alasan menolak ahli-ahli Parlimen bertanya soalan mengenai !MDB. Dunia mahu tahu, kenapa Bersatu, parti politik yang menentang UMNO, mesti dibatal pendaftarannya.

Para pemimpin UMNO berfikir mereka boleh menutup semua salah laku yang mereka lakukan dengan mengatakan laporan terhadap mereka sebagai berita palsu. Mereka fikir orang Melayu adalah dayus dan akan ikut serta melakukan apa saja yang diberitahu. Mereka fikir dunia tidak akan tahu mengenai Perdana Menteri jika Utusan Malaysia dan media perdana milik Media Prima menyekat atau memadam semua berita. Dengan bodoh mereka fikir dunia tidak tahu atau peduli mengenai kebenaran.

Dunia juga tahu kita sebagai negara orang Islam. Perdana Menteri gemar berkata bahawa negara kita patuh shariah. Maknanya, semua perkara yang kita lakukan tentulah “Islamik”, namun dialah orangnya yang memberi nama buruk kepada agama Islam. Islam melarang pemimpin menipu. Islam melarang para pentadbir membuat keputusan yang tidak adil. Islam melarang pasukan Polis menutup sebelah mata kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. Islam amat mengutuk amalan rasuah dan mentakrifnya sebagai dosa besar. Islam melarang penjawat awam bertindak atau bertugas sebagai hamba UMNO.

Tugas kita yang luhur dan suci dalam Piliharaya ini adalah untuk menebus maruah dan wajah orang Melayu. Kita mesti menegakkan maruah serta kehormatan bangsa dan agama kita di mata dunia. Penyair dan sasterawan agung kita Usman Awang menulis rangkap-rangkap puisi berikut sebagai peringatan tentang perkara ini:

Ibuku (1984)
O ibuku sayang
Di negerimu kau menumpang
Sesekali kudengar kau menyanyi
Pantun tradisi caranya sendiri:

Siakap senohong
Gelama ikan duri
Bercakap bohong
Tak boleh jadi Menteri

Jiwa Hamba (1949)

Kalau hidup ingin merdeka
Takkan tercapai hanya berkata
Ke muka maju sekata, maju kita
Melemparkan jauh jiwa hamba

Mereka Telah Bangkit (1967)

Mereka telah bersuara
Dari bumi tanah air yang subur
Demi Islam yang mengajar hidup berani
Demi janji yang kini telah dimungkiri

Mereka sekarang telah bangkit
Di tengah-tengah gelombang zaman
Dari keperibadian yang telah tertindas
Untuk masa depan warisan keturunan

Kita mempunyai misi yang suci, dan saya tahu anda semua akan berusaha keras demi rakyat Malaysia. Marilah kita bersikap berani dan membuang pemikiran hamba. Marilah kita membina semula harga diri dan maruah rakyat dan negara kita. Dengan demikian, barulah dunia melihat kita dengan lebih baik dan menghormati kita.

Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0
%d bloggers like this: