Mengapa Saya Memilih DAP

Share on Facebook10Tweet about this on TwitterShare on Google+0

Dengan sukacitanya, saya ingin mengumumkan bahawa saya telah menyertai DAP sebagai ahli biasa. Saya bergiat lama dalam politik, dengan satu prinsip yang tidak pernah berubah atau berganjak. Pemimpin mestilah ikhlas dan bertanggung jawab kapada rakyat yang mereka pimpin. Pemimpin mestilah wujudkan sistem pentadbiran di mana mereka mampu berlaku adil kapada semua golongan tanpa mengira agama, bangsa dan kedudukan. Saya percaya DAP mampu membantu saya mencapai matlamat ini.

Malaysia hari ini adalah sebuah negara yang hina di kaca mata dunia. Pentadbirannya lemah, kekayaannya dahulu sudah lesap, dan dasar ekonominya membebankan rakyat. Pemimpin menjadi tamak sementara politik kebencian antara puak dibenarkan menular dan bertapak. “Raja dan hamba raja” di Putrajaya sudah tidak ada moral yang boleh dipertahankan. Kuasa disalahgunakan tanpa batasan. Masa depan Malaysia kini terletak pada keupayaan parti-parti dalam Pakatan Harapan untuk menyelamatkan keadaan. Hanya kepimpinan yang berwibawa dan amanah, mampu membawa negara ini ke arah mencapai potensi yang sepenuhnya.

Parti politik memerlukan pemimpin yang baik untuk menyelesaikan masalah rakyat – terutama lapisan rakyat di strata bawahan. Saya melihat kerajaan DAP efektif, yang mampu menyumbang dalam menyelesaikan masalah negara. Di Pulau Pinang, kerajaan negeri yang mentadbir dengan begitu baik sekali, menyediakan peluang pekerjaaan yang mencukupi, perumahan yang lebih baik, dan persekitaran bandar yang bersih. Itulah politik yang berkesan – penyelesaian kepada masalah rakyat.

Nilai sesebuah bangsa menentukan jaya atau tidak bangsa tersebut. Orang Melayu perlu memupuk kembali nilai positif dan saintifik, diselubungi dengan nilai kemaanusiaan dan keadilan yang mendalam seperti yang dituntut oleh agama mereka. Tidak cukup untuk orang Melayu menyelamatkan diri mereka daripada cabaran semasa dalam dunia moden hanya dengan bercakap setiap masa tentang dosa dan pahala, halal haram, dan betapa seronoknya berpoligami. Saya percaya DAP dalam Pakatan Harapan mampu mematahkan gelombang Talibanisasi yang telah bertapak tebal di negara ini.

Saya tahu, sebahagian orang Melayu tidak boleh langsung mendengar nama DAP. Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak bekerja keras bersama-sama Pas untuk memupuk perasaan benci dan takut kepada parti ini di kalangan pengundi dan masyarakat Melayu. Mereka kata DAP ini parti chauvinis Cina. Mereka tidak henti-henti menyerang DAP dan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana berkawan dengan Lim Kit Siang. Mereka menuduh DAP anti-Melayu dan anti-Islam.

Melihat kepada kerakusan serangan mereka, bererti mereka sedar, Kerajaan BN sekarang akan tumbang sekiranya pengundi Melayu tidak takut kepada DAP. Di sini saya yakin, saya dan rakan-rakan lain dapat menyakinkan orang Melayu bahawa DAP tidaklah seperti yang digambarkan oleh Najib dan kuncu-kuncu beliau. DAP mementang rasuah dan penyalahgunaan kuasa sudah hampir 50 tahun. Ini rekod yang tidak boleh dinafikan. Inilah perjuangan politik yang orang Melayu memerlukan, kerana orang Melayu sudah lama menjadi mangsa “harapkan pegar, pegar makan padi”. Tengoklah apa yang terjadi terhadap 1MDB, Felda dan Mara dan banyak agensi kerajaan yang lain.

Lagipun usaha Najib supaya orang Melayu menolak DAP itu akan gagal kerana Najib tidak boleh dipercayai. Dia ada zero credibility. Orang Melayu lebih percaya kepada Tun Dr Mahathir, yang ada bersama-sama kita hari ini. Kepada orang Melayu, saya hanya ingin mengungkap kata-kata Sasterawan Negara Datuk Usman Awang: “Jangan takut melanggar pantang, jika pantang melanggar kemajuan. Jangan segan menentang larangan, jika percaya kepada keadilan.

Melayu itu orang yang bijaksana. Itulah kata-kata usman Awang. Akan kita ketahui kelak, selepas PRU14, apakah sifat sebenar orang Melayu.

Beralih pula kepada sebuah lagi parti Melayu – PAS – yang menjadi penunggang agama. Mereka hanya mampu berceramah, tetapi pemikiran mereka bercelaru. Mereka kononnya menentang rasuah tetapi menyokong Najib. Mereka kata mereka mahu bela Islam tetapi langsung tidak mempeduli isu keadilan dan kemanusiaan yang dituntut oleh agama Islam. PAS tidak berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah rakyat. Mereka tiada sebarang perancangan ekonomi. Mereka tiada perancangan pendidikan. Perkara yang mudah sekalipun, seperti membersihkan longkang yang tersumbat, mengawal banjir kilat, pengutipan sampah berjadual, tidak dilakukan di negeri di bawah pentadbiran mereka.

Sekarang ini, Najib dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ada projek baru untuk pilihan raya. iaitu projek RUU 355. Walaupun mereka menafikannya, rang undang-undang yang dicadangkan, iaitu RUU 355 adalah sebenarnya “hudud di balik tabir”. Akta ini akan memecah-belahkan sistem perundangan negara, tetapi mereka tidak mengendahkannya. Menurut mereka, projek mereka diperlukan untuk “mempertahankan Islam” tetapi sebenarnya mereka sedang memancing undi. Islam mampu dipertahankan hanya dengan memberkas pemimpin yang mengambil wang rakyat. Islam hanya boleh dimartabatkan apabila para ulama mula berani bercakap perkara yang benar.

Rakyat Malaysia, terutamanya golongan Melayu, harus menolak parti politik yang tidak mampu menangani tuntutan dunia moden. Pemimpin harus menjadi inspirasi, memperkasakan dan memulihkan minda generasi muda. Kerajaan moden menuntut kejujuran dan integriti daripada para pemimpinnya. Kualiti ini tidak wujud pada pemimpin UMNO dan PAS.

Negara kita haruslah setaraf dengan negara moden dan progresif yang lain. Negara ini memerlukan pemimpin Pakatan, yang mampu merangka dasar ekonomi yang lebih saksama, yang menyediakan peluang bagi rakyat untuk menjana pendapatan yang setimpal, dan yang mampu membentuk sistem pendidikan progresif yang bakal menyediakan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang memupuk daya saing.

Malaysia harus dirombak semula. Pembangunan kita berat sebelah, di mana yang kaya dan licik mendapat nikmatnya. Pada 1980-an, ramai bukan Melayu yang telah meninggalkan Malaysia, menuju ke Australia dan England. Sekarang ini, Melayu yang berkemahiran dan berkemampuan juga ke luar negara, dengan jumah yang besar. Sudah sampai waktunya kita memutarkan kembali masa dan menghentikan penghijrahan rakyat Malaysia ke luar negara. Kita harus berusaha sedaya upaya untuk menghalang Malaysia daripada menjadi seperti Syria.

Kali ini, rakyat Malaysia harus membuat keputusan yang tepat. Bukan ditetapkan oleh sesiapa, atau menjadi kewajipan kita untuk menyokong kerajaan kleptocracy kononnya demi kestabilan, atau untuk mengekalkan segregasi Islam dan bukan lslam atas alasan kononnya menjaga kesucian dan maruah agama. Malaysia harus mempunyai pemimpin yang berani mengubah keadaan. Kita masih belum terlambat. Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa Pakatan Harapan, bersama-sama Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir, akan menganjurkan reformasi yang berpandangan jauh ini dengan jayanya.

Kapada Tun Dr Mahathir Mohamad, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi hadir pada hari ini. Amat penting dan bermakna bagi rakyat untuk melihat Tun memimpin kami sekali lagi, demi memperjuangkan masa hadapan negara. Wawasan 2020 yang Tun dokong, yang ingin melihat negara mempunyai ekonomi yang maju, liberal, moden dan progresif – negara di mana semua rakyatnya hidup dengan aman dan harmoni – kini berada di ambang kehancuran. Mungkin dahulu Tun pernah mengeluh, rakyat Malaysia enggan berubah. Saya percaya, kali ini, mereka akan berubah. Tun Dr Mahathir, andalah inspirasi mereka untuk berubah.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kepimpinan DAP kerana meluluskan permohonan saya untuk menjadi ahli, terutamanya Sdr Lim Kit Siang. Saya tidak berhasrat untuk memegang sebarang jawatan di dalam parti, dan hanya ingin menyumbang di dalam usaha untuk membangunkan semula negara tercinta ini. Cukup bagi saya kalau dapat menceritakan kepada cucu-cucu saya bahawa saya pernah menjadi sebahagian daripada pasukan yang membantu Pakatan Harapan dan Tun Dr Mahathir Mohamad membebaskan negara daripada cengkaman mereka yang rakus dan hipokrit.

Khas buat rakan-rakan saya yang sudi menerima jemputan saya hari ini, terima kasih yang tidak terhingga.

Terima kasih.

Share on Facebook10Tweet about this on TwitterShare on Google+0
%d bloggers like this: