Suruhanjaya Diraja MCA dan Abdul Razak Baginda

Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0

Kabinet yang ada hari ini mencipta satu lagi sejarah, bukan saja kerana mempunyai bilangan menteri yang terbesar, tetapi juga disebabkan membuat keputusan yang boleh dianggap dungu. Keputusan bahawa Perdana Menteri mahu siasatan dijalankan atas kerugian pertukaran asing oleh Bank Negara dalam tahun 1990-an adalah jelas tidak munasabah dan tidak menjamin hasil yang konkrit.

Pada ketika kerugian itu berlaku, kabinettidak menganggap perlu untuk menjalankan satu siasatan awam berhubung kerugian pertukaran asing tersebut. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah salah seorang anggota kabinet dan kita tentu ingin tahu apakah dia pernah berkata apa-apa pada masa itu.

Adakah dia pernah meluahkan rasa tidak puas hati ke atas kerugian itu dan meminta satu siasatan awam dijalankan? Datuk Seri Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada tahun 2009, atau tujuh tahun yang lalu dan di sepanjang masa sejak itu sehinggalah kini, dia tidak berkata satu perkataan sekali pun tentang kerugian forex. Jika ia suatu isu penting bagi negara, tentu beliau telah bertindak lebih awal?

Dengan itu ia adalah jelas percubaan beliau untuk mencemar nama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin. Rakan-rakan dalam Kabinet juga difikirkan tidak patut untuk terus dengan kepura-puraan ini kerana ia hanya proses yang membuang masa dan wang awam

Dalam hal ini adalah lebih berguna untuk menubuhkan satu siasatan awam ke atas pembunuhan Altantuya Shaaribu dan peranan yang dimainkan oleh Abdul Razak Baginda, orang kepercayaan dan penasihat Najib. Dia pernah didakwa bersubahat membunuh Altantuya dan kemudian dibebaskan, tetapi tidak ada rayuan dilakukan. Sehingga kini kita masih tidak tahu apa motif di sebalik pembunuhan mengerikan itu.

Menjadi persoalan juga mengapa Abdul Razak, penyelidik akademik dipilih untuk menjadi ejen bagi pembelian kapal selam pertama negara? Adakah bayaran RM500 juta yang diterima sebagai bayaran komisyen daripada pembelian itu untuk dirinya sendiri atau untuk orang lain? Ini yang orangramai mahu tahu?

Bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail masih ada dan tentu menarik untuk beliau mendedahkan mengapa tidak dibuat rayuan terhadap keputusan mahkamah dalam kes Razak itu. Adakah kerana ada tekanan dari pihak atas untuk beliau berbuat demikian?

Adakah beliau hanya mengulangi apa yang Peguam Negara sekarang, Tan Sri Mohamed Apandi Ali selalu berkata bahawa keputusan Pejabat Peguam Negara adalah tidak boleh dipersoalkan dan oleh itu dia tidak perlu menerangkannya dengan lebih lanjut.

Orang ramai perlu tahu jika Datuk Seri Najib (Timbalan Perdana Meteri pada masa itu) dalam apa-apa cara pernah terlibat dalam menghalang keadilan. Kita semua tentu masih ingat mesej SMS daripada Datuk Seri Najib kepada Razak pada awal pagi Abdul Razak ditangkap, yang memintanya bertenang kerana beliau telah bertemu dengan Ketua Polis Negara untuk menyelesaikannya perkara itu. Apa perbualan Najib dengan Ketua Polis Negara adalah juga sesuatu yang tentunya kita perlu tahu.

Kemudian orang ramai ingin tahu mengapa Datin Seri Rosmah Mansor begitu bersemangat untuk membantu Abdul Razak dengan memanggil isterinya pulang dari London dan menurut sumber yang boleh dipercayai, malah membantu untuk mencari seorang peguam untuk Abdul Razak walaupun bapanya telah melantik seorang peguam jenayah yang lain. Mengapa perlu menukar peguambela apabila Abdul Razak sendiri tidak pernah meminta untuk itu?

Orang ramai juga ingin tahu mengapa dia dibenarkan untuk bebas dengan ikat jamin atas tuduhan membunuh? Mengapa diberi layanan istimewa? Orang ramai juga mahu tahu mengapa hakim yang dilantik untuk mendengar kes itu dikeluarkan ketika prosiding itu telah pun bermula?

Terdapat 100 soalan lain di mana orang ramai mahukan jawapan mengenai keadilan dan bagaimana ia dilihat berbeza kepada VVIP berbanding orang-orang biasa.

Kabinet yang ada sekarang tidak mempunyai banyak kredibiliti yang tinggal. Tetapi, ia boleh mula dipulihkan dengan segera mengadakan siasatan awam ke dalam pengendalian pembunuhan Altantuya dan isu-isu berkaitan penglibatan Abdul Razak. Ada alasan yang kuat untuk melakukannya kerana ia melibatkan isu-isu penting dari segi mengendalikan keadilan di negara kita.

Malah, saya berharap Tun Dr Mahathir dan menteri-menteri baru yang ada dalam kabinet selepas Pilihan Raya Umum ke-14 akan segera membentuk satu Suruhanjaya Diraja untuk tujuan itu. Saya dengan sukarela berminat untuk menjadi salah seorang anggota suruhanjaya itu.

Oleh kerana kita berada dalam mood untuk siasatan awam dan penubuhan Suruhanjaya Diraja, mengapa tidak meneroka bagaimana Parti Komunis China mempunyai lebih pengaruh kepada Perdana Menteri kita? Bolehkah kita mempunyai senarai semua projek dan perniagaan yang telah diluluskan untuk syarikat-syarikat dari China?

Adalah penting bagi orang ramai untuk mengetahu jika membenarkan orang Cina daripada negara China menguasai semua projek-projek, ia merupakan kompromi kepada kemerdekaan, keselamatan dan kedaulatan Malaysia. Orang ramai juga ingin tahu peranan MCA dalam memudahkan dasar pro China, dan jika parti itu telah dikompromi demi kepentingan rakyat negara ini.

Akhir sekali, saya mahu pembaca saya tahu bahawa apa yang saya tulis dalam blog ini dan di tempat lain tidak sama sekali mewakili pandangan DAP. Begitu juga dalam apa-apa cara yang berkaitan pihak-pihak pembangkang lain. Ini adalah pandangan peribadi saya, yang saya rasa saya masih berhak untuk menyuarakan pandangan peribadi atas sesuatu perkara, walaupun saya kini seorang ahli sebuah parti politik.

Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0
%d bloggers like this: