Kita Tidak Menanam Budaya Membaca …

Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0

Original Article: mStar Online

SETIAP individu mempunyai cara tersendiri untuk berehat dan meluangkan masa untuk diri sendiri.

Sebahagian orang bersenam atau bersukan, sebahagian lagi memanjakan diri di spa atau membeli-belah dan ada pula yang meluangkan waktu bersama buku yang bagus dan secawan kopi.

Banyak sebab orang membaca. Ada yang membaca untuk menambah pengetahuan, kerana ia membantu mereka membentuk pandangan.

Ada juga yang membaca untuk mengisi waktu ketika menunggu bas atau kereta api misalnya. Ada pula yang membaca untuk memasuki sebuah dunia yang tidak wujud.

Ada pula yang membaca sambil ‘menunaikan hajat’ (mengaku sajalah!).

Kadar celik huruf di kalangan orang dewasa di Malaysia mencapai tahap 90%. Bererti, rakyat Malaysia umumnya mampu membaca buku.

Jadi, saya terperanjat mendapati sebuah kajian yang dijalankan pada tahun 2005 menunjukkan rakyat Malaysia membaca purata hanya dua buah buku setahun dan semakin mereka berusia, semakin kurang mereka membaca.

Barangkali perangkaan itu mempunyai kecacatannya.

Misalnya, apakah mungkin untuk kita menganggarkan perilaku dalam bentuk angka? Untuk memuaskan rasa ingin tahu, saya meminta pandangan Umapagan Ampikaipakan, pengendali sebuah kelab buku yang menjalankan kegiatan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur tentang tabiat membaca rakyat Malaysia dan sama ada hanya segelintir orang yang mempunyai tabiat membaca.

“Saya rasa kebanyakan orang bukannya tidak mahu membaca tetapi mereka tak tahu di mana mereka perlu bermula,” ujarnya.

Ini kerana katanya, kita tidak terdedah kepada dunia persuratan sewaktu di bangku sekolah lagi dan tidak dapat membayangkan betapa menariknya dunia itu.

Budaya membaca perlu dipupuk, ia tidak terbentuk dengan sendiri, ujarnya lagi. Hadi Khalid, pengasas Distro Buku, sebuah kedai buku bergerak, turut berkongsi pandangannya.

“Sebenarnya, orang Malaysia tidak mempunyai budaya membaca yang baik. Ini bertentangan dengan cita-cita kita untuk menjadi negara maju.

“Kita tidak mempunyai kedai buku ‘yang sebenar’ – bukan ‘pasar raya’ buku di mana pelanggan mengunjunginya hanya untuk membeli buku yang sedang dijual dengan harga diskaun, sebaliknya sebuah kedai buku yang juga berperanan sebagai sebuah rumah kelab untuk para pembaca di mana perbincangan dan forum boleh dianjurkan, ” katanya.

Distro Buku turut memainkan peranan sebagai pengedar dengan menjual majalah, CD, DVD dan T-shirt. Hadi percaya para pembaca di Malaysia mahukan sesuatu yang lain daripada apa yang ditawarkan di kedai buku biasa.

“Ada banyak pembaca di negara ini; kita membaca akhbar, blog online, dan kadang-kadang majalah, tetapi tidak banyak orang membeli buku.

Buku kurang dihargai. Cabaran terbesar untuk kita ialah untuk menyumbang ke arah penyuburan budaya membaca dan penghargaan terhadap buku. Kelangsungan dan kejayaan kita amat bergantung pada kedua-dua unsur ini.

Tambah beliau lagi, “Masa depan dunia persuratan kita agak cerah memandangkan kita mempunyai banyak penulis berbakat dan dunia ini sedang berkembang dengan kebangkitan beberapa penerbit independen seperti Silverfish, Matahari, Sindiket Soljah, Sang Freud Press, Stormkitchen, DuBook Press dan FIXI.”

Saya selalu menyangka tabiat membaca dan kelab buku adalah sesuatu yang eksklusif.

Saya baru diperkenalkan kepada budaya membaca dua tahun lalu dalam sebuah acara yang dianjurkan oleh satu kelompok kecil dalam persekitaran sosial yang juga kecil di mana setiap anggotanya telah pun saling mengenali.

Saya berasa janggal dan sambutan yang diterima pula agak dingin. Barangkali kerana tidak banyak orang yang gila membaca, maka kelompok ini menjadi agak tertutup.

Tetapi Uma membuktikan sebaliknya. “Kelab buku yang kami kendalikan terbuka kepada orang ramai dan sesiapa saja boleh hadir, tidak kira sama ada mereka pernah membaca buku atau tidak. Acara yang kami anjurkan lebih kepada peluang yang terbuka untuk orang berkumpul, bertukar-tukar idea dan berdebat tentang sesuatu isu.

Buku berperanan sebagai pencetus,” jelas Uma.

“Saya rasa lebih banyak orang hadir acara membaca berbanding dulu. Saya melihat perubahan agak besar dari tahun 2006 hingga sekarang. Saya kagum melihat suasana dalam Arts for Grabs yang diadakan baru-baru ini di Annexe (Pasar Seni, KL) kerana bermacam jenis orang hadir, bukan saja ‘orang seni’. Borders, Kinokuniya, dan MPH menganjurkan acara bacaan setiap bulan, tetapi ada juga acara yang diadakan secara kecil-kecilan seperti di Silverfish atau galeri-galeri seni,” ujar beliau.

Harga buku semakin tinggi. Poket terasa semakin ringan setiap kali membeli buku baru dan saya selalu berfikir dua kali (kadang-kadang tiga kali!) dan mengambil masa yang lebih lama untuk membuat keputusan bagi membeli sesebuah buku.

Uma juga merasakan rakyat Malaysia umumnya tidak begitu menghargai tabiat membaca, tetapi harga buku tidak menjadi persoalan.

“Buku yang istimewa tentunya mahal, di luar negeri sekali pun. Tetapi buku-buku yang memakai kertas biasa kebanyakannya tidak mahal. Cuma kita lebih suka membelanjakan RM50 untuk membeli DVD cetak rompak daripada membeli sebuah buku yang bagus.Untuk memupuk budaya membaca, kanak-kanak dan juga orang dewasa perlu digalakkan untuk membaca. Orang dewasa perlu didorong untuk menghadiri acara-acara kelab buku dan acara-acara sosial untuk memperkenalkan kepada mereka perkara-perkara baru yang sebelum ini mereka anggap tidak menarik dan menjadikannya sesuatu yang menarik.”

Barangkali tidak penting setinggi mana angka dan peratusan membaca.

Semua itu hanya angka. Ia tidak begitu bermakna dan tiada cara untuk kita mengetahui setepat mana angka-angka tersebut, apatah lagi kerana di negara ini kita tidak selalu mengadakan kajian atau memperbaharui hasil kajian. Sememangnya kadar membaca yang tinggi di kalangan orang awam adalah bukti bagi kemajuan negara, namun masyarakat yang terdidik, matang dan mempunyai keyakinan diri tidak dapat dibentuk tanpa adanya ruang dan kebebasan yang memadai untuk berbahas dan berbincang.

Lebih penting, perlu ada ruang yang cukup untuk masyarakat mendapatkan semua jenis buku, termasuk buku yang kontroversial.

Bagi saya, membaca adalah sebuah kembara peribadi; sebuah jendela kepada pandangan dan imaginasi yang lebih luas.

Tidak kira apa kegemaran kita – sama ada buku cerita ngeri atau cerita romatik penuh sensasi, buku pengenalan kepada ekonomi atau kebudayaan dunia – menerusi kata-kata orang lain kita belajar lebih banyak tentang diri sendiri dalam usaha untuk membentuk pandangan peribadi.

Saya percaya pada kebolehan kita untuk mendidik diri sendiri dan bahawa jika kita berusaha serta mempunyai minat untuk mengembangkan pandangan kita demi kesejahteraan diri sendiri, maka tabiat membaca akan terbentuk dengan sendiri tanpa perlu kepada kempen-kempen khusus yang memaksa orang untuk memupuk tabiat membaca.

Sharyn Shufiyan percaya, budaya adalah seperti renda yang menghiasi masyarakat. Beliau gemar berbincang tentang budaya, sub-budaya dan masyarakat Malaysia.

Share on Facebook0Tweet about this on TwitterShare on Google+0
  • DarahKuMelayu

    Bukan malas membaca, Bos. Kita orang melayu ni kedekut sedikit kalau nak beli buku. Lebih2 lagi buku omputih yang harganya lebih mahal. Orang melayu yang rajin membaca buku omputih selalunya tak beli dari kedai buku tetapi download je dari laman web tertentu, lepas tu baca kat komputer atau tablet pc.Tak payah keluar satu sen pun. Memang tak bagus perbuatan ni tetapi sekurang-kurangnya budaya membaca ini diamalkan oleh sesetengah orang melayu.

%d bloggers like this: